Tuesday 21 October 2008

TaUbAT SeOrAnG WaNiTa BuTa




Saleh Al-Muri bercerita, bahawa dia pernah melihat seorang perempuan tua memakai baju kasar di Mihrab Daud Alaihissalam. Perempuan yang telah buta matanya itu sedang mengerjakan solat sambil menangis terisak-isak. Setelah selesai solat dia mengangkat wajahnya ke langit dan berdoa: “Wahai Tuhan Engkaulah tempatku memohon dan Pelindungku dalam hidup. Engkaulah penjamin dan pembimbingku dalam mati. Wahai Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia, serta setiap getaran batin tidak ada Raja bagiku selain Engkau yang kuharap dapat mengelak bencana yang dahsyat.”

Saleh Al-Muri memberi salam kepada perempuan tersebut dan bertanya: “Wahai puan! Apa yang menyebabkan hilangnya penglihatanmu?” “Tangisku yang disebabkan sedihnya hatiku kerana terlalu banyaknya maksiatku kepada-Nya, dan terlalu sedikitnya ingatan dan pengabdianku kepada-Nya. Jika Dia mengampunkan aku dan menggantinya di akhirat nanti, adalah lebih baik dari kedua-dua mataku ini. Jika Dia tidak mengampunkan aku, buat apa mata di dunia tetapi akan dibakar di nereka nanti.” Kata perempuan tua itu.

Saleh pun ikut menangis kerana sangat terharu mendengar hujjah wanita yang menggerunkan itu. “Wahai Saleh! Sudikah kiranya engkau membacakan sesuatu dari ayat Al-Quran untukku. Kerana aku sudah sangat rindu kepadanya.” Pinta perempuan itu.
Lalu Saleh membacakan ayat yang ertinya: “Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya.” (Al-An’am: 91)

“Wahai Saleh, siapakah yang berkhidmat kepada-Nya dengan sebenarnya?” Kata perempuan itu lalu menjerit kuat-kuat dengan jeritan yang boleh menggoncangkan hati orang yang mendengarnya. Dia jatuh ke bumi dan meninggal dunia seketika itu juga.
Pada suatu malam Saleh Al-Muri bermimpi berjumpa dengan perempuan tua itu dalam keadaan memakai baju yang sangat bagus.

Dalam mimpi tersebut Saleh bertanya: “Bagaimana keadaanmu sekarang?”
Perempuan itu menjawab: “Sebaik saja rohku dicabut, aku didudukkan di hadapan-Nya dan berkata: “Selamat datang wahai orang yang mati akibat terlalu sedih kerana merasa sedikitnya khidmatnya kepada-Ku.”

(dipetik dari : http://www.darulnuman.com/mkisah/kisah052.html#tiga )

Monday 13 October 2008

PeRJaLaNaN YaNg JaUH

Perjalanan...
Gahnya awan di langit
Luasnya gelora lautan
Begitulah hidup ini
Begitu jauh perlu dilalui
Belum kuterokai sepenuhnya
Masih banyak lagi
Perlu kupelajari
Perlu kuinsafi
Dalam meniti kematangan abadi

Perjalanan...
Memang, aku masih mentah
Terlena dibuai mimpi sermalam
Hanyut dalam keseronokan dunia
Yang tiada berkesudahan
Antara realiti dan fantasi
Sesekali...
Terhimpit di landasan kekeliruan
Dalam mencari identiti sendiri

Perjalanan...
Akan kugagahi jua
Meneruskan kelangsungan hidupku
Tetap kupastikan
Hidupku ini disinari perubahan
Walaupun duri dan ranjau
Yang beronak dan berliku
Agar dapat kuyakini
Masih ada sinar sang suria menemaniku
Dalam menuju destinasi bahagia.

BeSaRNya PenGorBaNaN SeoRanG IbU

Adik-adik pejamkan mata… tarik nafas,,, bayangkan ada suatu cahaya datang menghampiri adik-adik… semakin lama semakin dekat… adik tenung cahaya itu dalam-dalam. Tiba-tiba cahaya itu pergi meninggalkan adik. Adik mengikuti pergerakan cahaya itu… cahaya itu melalui satu terowong.. terowong yang gelap… adik mengejar cahaya itu… adik tenggelam dalam terowong yang tiada berpenghujung itu…

Adik…adik…Tahukah adik-adik

IBU bapa mempunyai kedudukan sangat tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka berdua selepas Allah memerintahkan kita mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan dilakukan ibu kepada anaknya. Tanpa ibu siapalah kita. Tanpa ibu, kita tidak akan wujud di dunia yang fana ini, anak kita tidak dapat hidup dengan sempurna dan selesa.
Tanpa ibu, kehidupan anak penuh dengan kesengsaraan. Justeru, ibu adalah insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak-anaknya.

Ketika mengandung, ibulah insan yang menanggung penderitaan selama sembilan bulan sedangkan dia tetap meneruskan kandungannya dengan penuh kepayahan dan keletihan. Ketika melahirkan anak, ibu saja yang menanggung kesakitan perit, malah kadang-kadang sanggup menggadaikan nyawanya berjuang antara hidup dan mati demi keselamatan anaknya.
Seterusnya, selepas kelahiran anaknya, ibu juga yang menyusu dan mengasuh dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh selama beberapa tahun. Kadang-kadang ibu terpaksa bersengkang mata sepanjang malam menjaga anak tersayang dan apabila anak jatuh sakit.

Perjalanan hidup yang dilalui ibu itu tidak ternilai harganya dan dihargai Allah sehingga dirakamkan Allah melalui firman yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Maksud ayat berkenaan menghargai pengorbanan ibu terhadap anaknya dengan menanggung penderitaan ketika membesarkan anaknya, penderitaan ketika melahirkan anak dan penderitaan ketika menyusu serta mengasuh anak.

Ibu tidak pernah mengeluh mahupun berputus asa menghadapi semua penderitaan, malah tidak pernah mengharapkan sebarang balasan dan ganjaran daripada anaknya.

Apa yang penting bagi seorang ibu ialah melihat anaknya sihat sejahtera, hidup dengan selesa dan sentiasa mendoakan anaknya berjaya dalam lapangan hidupnya kelak.

Demikianlah besar dan tingginya pengorbanan dicurahkan seorang ibu terhadap anaknya. Tetapi, bagaimana pula pengorbanan anaknya untuk menghargai pengorbanan dan membalas balik jasa ibu yang tidak terhitung itu. Inilah suatu persoalan yang wajib direnung setiap anak apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya.

Perlu diinsafi, ibu adalah insan yang tinggi kedudukan dan martabatnya di sisi Islam sehingga Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu. Ia bermakna seseorang anak sudah pasti tidak dapat masuk syurga tanpa keredaan ibunya walaupun sebaik mana sekalipun amal salih yang dilakukannya.

Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, seorang pemuda bernama Alqamah tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana ibunya, perlu menjadi bahan renungan setia anak pada zaman moden ini.

Alqamah adalah seorang pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa dan bersedekah. Tetapi, Alqamah dikatakan lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya lalu ibunya makan hati berulam jantung dan tersinggung dengan perbuatan anaknya. Akibatnya, Alqamah tidak mampu mengucapkan dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya.

Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya. Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

Kisah Alqamah dengan ibunya mengajar kita betapa seorang ibu sanggup berkorban apa saja dalam dunia demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Oleh sebab itulah, Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak ibu dan melayani ibunya dengan sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Islam mengharamkan anak daripada melakukan sesuatu yang boleh menyakit dan menyinggung perasaan ibu. Pendek kata, ibulah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan dilakukannya.

Bukankah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”

Hadis Rasulullah SAW ini mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain, walau kepada bapa sekalipun. Malah, Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali berturut-turut dalam hadis itu, barulah Baginda menyebut berbakti kepada bapa, sekali gus menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak.

Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya melupakan peranan bapa bagi menjamin keselesaan dan kebahagiaan hidup sesebuah keluarga. Justeru, kita seharusnya menghormati dan menyayangi ibu kita tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bapa.
Begitu juga sebaliknya, kita memberikan penghormatan dan kasih sayang kepada bapa tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap ibu. Ibu bapa berperanan besar dalam membentuk kehidupan, kelangsungan dan kebahagiaan anak mereka. Adik-adik marilah sama sama kita berselawat supaya Allah setiasa member kebahagian kepada kita dan ibu bapa kita…sallallahhualamuhammad….

Dan marilah kita beristifar agar segala keampunan kita diterima oleh Allah… Astagfirullahhilazim….